Keselamatan dan kebimbangan Kemalangan kapal selam Titan 2023

Memandangkan Titan beroperasi di perairan antarabangsa dan tidak mengangkut penumpang dari pelabuhan, ia tidak tertakluk kepada peraturan keselamatan standard atau pensijilan daripada agensi kawal selia atau organisasi pihak ketiga.[24] Kekurangan pensijilan dan pengawasan kawal selia ini diakui oleh wartawan David Pogue, yang mengambil bahagian dalam satu ekspedisi dengan Titan pada tahun 2022.[25] Semua penumpang yang menaiki Titan dikehendaki menandatangani penepian yang mengakui bahawa Titan ialah kapal "percubaan" tanpa kelulusan atau pensijilan daripada mana-mana badan kawal selia, dan terdapat potensi risiko yang terlibat, termasuk kecederaan fizikal, hilang upaya, trauma emosi, atau kematian.[22] Penerbit televisyen Mike Reiss, yang turut menyertai ekspedisi itu, menyatakan bahawa penepian itu menyebut perkataan kematian tiga kali pada halaman pertama.[26]

Pendekatan tidak konvensional kapal tersebut terhadap keselamatan dan peraturan telah dibangkitkan dalam artikel majalah Smithsonian tahun 2019. Ia merujuk kepada Rush selaku Ketua Pegawai Eksekutif OceanGate yang menganggap beliau sebagai "pencipta yang berani."[27] Menurut Rush, beliau mengemukakan pendapatnya bahawa peraturan keselamatan tertentu, seperti Akta Keselamatan Kapal Penumpang Amerika Syarikat 1993, memberikan penekanan yang berlebihan terhadap keselamatan penumpang dengan mengorbankan inovasi komersial.[27][28] Dalam satu temu bual pada tahun 2022 bersama CBS News, Rush menyatakan bahawa terdapat seketika di mana tumpuan yang berlebihan terhadap keselamatan akan menjadi satu pembaziran sambil menambah bahawa aktiviti harian di luar keselesaan dan keselamatan seseorang juga mendatangkan risiko.[29] Beliau juga mengaku bahawa beliau telah melanggar beberapa peraturan dalam proses mencipta Titan. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keputusannya adalah berdasarkan penaakulan logik dan prinsip kejuruteraan yang kukuh.[30]

OceanGate mempromosikan Titan sebagai satu-satunya kapal selam yang menggunakan sistem pemantauan kesihatan masa nyata bersepadu yang dipanggil RTM.[31] Sistem proprietari ini, yang dipatenkan oleh Rush,[32] menggunakan penderia akustik dan tolok terikan pada sempadan tekanan untuk menganalisis kesan peningkatan tekanan semasa penurunan kapal selam ke dasar lautan dan memantau kekuatan badan kapal dalam masa nyata. Tujuan sistem ini adalah untuk memberikan amaran awal tentang sebarang isu dan memberi masa yang mencukupi untuk menghentikan penurunan ke dasar lautan dan kembali ke permukaan lautan jika perlu.[31][33]

Kebimbangan terdahulu

Pada tahun 2018, David Lochridge, pengarah operasi marin OceanGate, menyediakan satu laporan yang menyatakan kebimbangannya berhubung keselamatan Titan. Menurut dokumen mahkamah, Lochridge mengesyorkan bahawa syarikat itu mempunyai Titan yang dinilai dan diperakui oleh agensi kawal selia. Walau bagaimanapun, OceanGate enggan meneruskan pensijilan itu atas sebab pertimbangan kos.[34] Lochridge juga menekankan bahawa ruang tontonan lutsinar di bahagian hadapan kapal selam hanya diperakui untuk kedalaman 1,300 m (4,300 kaki), yang jauh lebih rendah daripada kedalaman yang diperlukan untuk mencapai bangkai kapal Titanic.[35] Lochridge juga melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan ujian bukan pemusnah (NDT) badan kapal Titan sebelum penyelaman yang dikendalikan manusia. Beliau mendakwa bahawa beliau diberitahu bahawa pengimbasan atau pemeriksaan badan kapal tidak dapat dilakukan kerana ketebalan badan kapal. Situasi ini bermakna masalah yang berpotensi terjadi tidak dapat dikesan seperti delaminasi (pemisahan lapisan), keliangan (kehadiran liang atau lompang), dan lekatan gam yang tidak mencukupi pada Titan.[35][36][37]

Menurut OceanGate, mereka mendakwa bahawa Lochridge, yang bukan seorang jurutera, enggan menerima kelulusan keselamatan daripada pasukan kejuruteraan mereka. Mereka menegaskan bahawa penilaian mereka sendiri terhadap badan kapal Titan adalah lebih teliti daripada penilaian luaran yang dianggap perlu oleh Lochridge.[34] Sebagai tindak balas, OceanGate memfailkan saman terhadap Lochridge yang menuduhnya melanggar kontrak kerahsiaannya dan membuat kenyataan palsu. Sebaliknya, Lochridge menyaman balas sambil mendakwa penamatan salah sebagai pemberi maklumat kerana menimbulkan kebimbangan keselamatan tentang keselamatan operasi Titan. Kedua-dua pihak mencapai penyelesaian untuk menyelesaikan pertikaian undang-undang.[38][35][39]

Pada tahun 2018, Persatuan Teknologi Marin menghantar surat kepada Rush menyatakan kebimbangan mereka tentang pembangunan 'TITAN' dan Ekspedisi Titanic yang dirancang. Mereka bimbang pendekatan eksperimen yang diambil boleh membawa kepada masalah dan membawa kesan yang serius kepada industri.[40] Rush memanggil salah seorang penandatangan surat itu dan menjelaskan bahawa beliau percaya piawaian industri menyekat inovasi.[34]

Pada Mac 2018, Rob McCallum, seorang pakar dalam penerokaan laut dalam, menyatakan kebimbangan kepada Rush tentang potensi risiko kepada keselamatan pelanggan jika kapal selam digunakan untuk tujuan komersial tanpa ujian dan pengelasan yang betul. McCallum menasihatkan Rush supaya berhati-hati dan berjaga-jaga semasa ujian dan percubaan. Rush, sebaliknya, kecewa dengan pemain industri yang menggunakan hujah keselamatan untuk menghalang inovasi dan menganggapnya sebagai penghinaan peribadi. McCallum memberi amaran kepada Rush tentang risiko tergesa-gesa untuk mencapai Titanic, menggambarkan selari dengan kepercayaan bahawa Titanic yang asli tidak dapat ditenggelamkan. Sebagai tindak balas, peguam OceanGate mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap McCallum atas komennya.[41]

Pada tahun 2022, Ross Kemp, seorang pelakon dan penyampai televisyen Britain, telah berhasrat untuk membuat penggambaran dokumentari di mana beliau akan menyelam ke dasar lautan untuk melihat bangkai kapal Titanic dengan menggunakan Titan. Bagaimanapun, projek itu dibatalkan kerana syarikat pengeluaran, Atlantic Productions, menganggap kapal selam itu tidak selamat dan tidak sesuai untuk tujuan tersebut.[42]

Insiden terdahulu

Video luar
Laporan CBS Sunday Morning / David Pogue tentang OceanGate, disiarkan pada 27 November 2022 (YouTube)

Pada tahun 2022, wartawan David Pogue berada di dalam kapal induk apabila Titan menghadapi kesukaran dan tidak dapat menemui Titanic semasa ia sedang turun ke dasar lautan.[43][44] Laporannya yang mempersoalkan keselamatan Titan mendapat perhatian meluas di media sosial selepas kapal selam itu terputus hubungan dengan kapal induknya pada Jun 2023.[45] Pogue berkata kepada Rush bahawa kapal selam itu nampaknya mempunyai elemen sementara yang menyerupai kepintaran MacGyver. Dalam konteks ini, merujuk kepada "MacGyver" ialah perbandingan dengan watak televisyen fiksyen Angus MacGyver, yang terkenal dengan kebolehannya mencipta penyelesaian sementara dan menyelesaikan masalah menggunakan kaedah tidak konvensional dan sumber yang tersedia. Pogue menekankan penggunaan alat kawalan permainan tanpa wayar Logitech F710 bernilai $30 yang diubah suai untuk stereng dan penggunaan paip pembinaan sebagai balast.[46]

Pada tahun yang sama, satu lagi insiden berlaku di mana salah satu pendorong pada Titan tersilap dipasang dalam orientasi yang salah. Akibatnya, apabila Titan cuba bergerak ke hadapan berhampiran dasar laut, ia mula berputar dalam bulatan. Untuk mengatasi isu ini, pengendali menemui jalan penyelesaian dengan menggunakan pengawal permainan ke sisi untuk mengemudi kapal selam itu.[47][48] Tambahan pula, menurut dokumen mahkamah yang difailkan pada November 2022, OceanGate menyatakan bahawa semasa penyelaman berasingan pada tahun yang sama, kapal selam itu menghadapi masalah dengan baterinya. Akibatnya, ia terpaksa disambungkan secara manual ke pelantar pengangkat yang mengakibatkan kerosakan pada komponen luaran tertentu Titan.[49][50]

Rujukan

WikiPedia: Kemalangan kapal selam Titan 2023 http://patft.uspto.gov/netacgi/nph-Parser?patentnu... http://www.pat2pdf.org/pat2pdf/foo.pl?number=11119... https://apnews.com/article/titanic-wreckage-missin... https://apnews.com/article/titanic-wreckage-missin... https://tv.apple.com/us/episode/the-return/umc.cmc... https://arstechnica.com/gaming/2023/06/submarine-m... https://www.bbc.com/news/world-us-canada-65934887 https://www.cbsnews.com/news/titanic-visiting-the-... https://www.cnn.com/americas/live-news/titanic-sub... https://www.cnn.com/americas/live-news/titanic-sub...